Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Friday, May 2, 2008

MELANKOLIK ENIGMA - PROLOG

Daniel tejaga dari tidur lenanya. Nafasnya berdesau kencang. Raut wajahnya tampak berkerut dan berpeluh. Hujan yang jatuh menimpa bumi sejak malam tadi dan baru sahaja reda itu sepatutnya mampu membuatkan badannya sejuk menggigil, namun cuaca dingin itu tidak langsung mempengaruhi suhu badannya.


Daniel berminpi tadi, mimpi ngeri itu seakan-akan benar-benar berlaku, kalimah tasbih diratib berulang kali bagi menenangkan jiwanya yang berkecamuk. Dia menoleh ke arah jam yang tersemat kemas di dinding. Dalam kesamaran, jam dinding itu direnung, lama-lama.


“Astagfirullah…” Daniel mengeluh berat, segumpal nafas dilepaskan bagaikan melepaskan satu bebanan yang berat, dia sekali lagi terlewat bangun untuk mengerjakan solat subuh secara berjemaah di masjid, sudah hampir seminggu dia gagal menyertai jemaah subuh di masjid tempatnya. Kerana teringatkan kewajipan ibadah yang dua rakaat cuma itu serta merta segala perasaan gusar dari hambatan mimpi ngeri yang tidak pernah dialaminya itu lenyap.


Daniel bangkit dari katil dan menuju ke bilik air mengambil wudhu’. Wajahnya kembali segar bagaikan pepohon layu kembali tegak dek siraman hujan malam tadi. Barulah terasa kesejukan yang sedari tadi sepatut dirasanya.


Tanpa berlengah lagi, terus sahaja Daniel membentang sejadah yang di sampirkan di kepala katil di bilik tidurnya ke lantai. Ibadah wajib yang telah disyariatkan ALLAH s.w.t kepada umat Islam melalui Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w insan kamil tidak pernah ditinggalkannya kerana dia tahu berat siksaan yang akan ditimpa kepada mereka yang meninggalkan solat.


Seperti biasa, sejurus selepas solat Daniel tidak pernah lupa untuk berminajat memohon ampun dan redha dari Tuhannya yang Maha Kuasa Lagi Maha Pengampun, diselitkan juga doa untuk kedua ibu bapanya yang telah lama meninggalkan dunia dan kini sedang menanti di alam barzakh sana. Selesai berdoa dia menyapu kedua tangannya ke muka dan menyirna saki baki manik-manik air wudhu’ yang masih tinggal di anak rambut dan dagunya yang baru ditumbuhi janggut halus.


Cahaya pagi mula menyerlah diufuk timur, kelihatan mega jingga indah membangkitkan rindunya pada kampung halaman yang telah lama ditinggalkannya, rasa berat baginya mengingati peristiwa lampau itu, jiwanya serasa lemas. Daniel mengatur langkah lambat-lambat menuju ke dapur. Secangkir air teh panas dibancuh.


Sebelum masuk semula ke kamar tidurnya, Daniel menghirup air teh tadi. Sambil fikirannya melayang-layang untuk cuba menafsir makna mimpi ngeri yang dialaminya. Dia bermimpi tentang dirinya, dan tiga orang sahabat baiknya Razman, Akmal dan Aidil. Mereka bertiga muncul dengan seluruh tubuh yang ibasahi darah merah. Ketika itu dia berdiri begitu hampir dengan mereka. Daniel menghulurkan tangan, menyambut tangan mereka dengan tujuan untuk membantu. Namun hasratnya tidak kesampaian kerana semakin dipanjangkan tangannya untuk meraih jemari sahabat-sahabatnya itu yang penuh luka, semakin jauh dirasakan jarak antara mereka dan secara tiba-tiba dia terjaga daripada mimpinya. Dalam mimpinya itu jelas sekali kelihatan muka sahabat-sahabat baiknya berkerut menanggung kesakitan dan keperitang yang teramat.


Daniel kembali termenung, selama ini kisah perjalanan hidupnya jarang dihiasi indah seperti mana yang selalu terkarang dalam novel kanak-kanak, pelbagai keperitan dan dugaan yang dilaluinya, hingga kadangkala hapir sahaja dia berputus asa daripada meneruskan hidup ini. Berkat sabar dan solat, ALLAH s.w.t meneguhkan hatinya untuk terus manyusuri kehidupan yang bagaikan kejam terhadapnya, namun keyakinan pada Tuhannya sahajalah menjadi pasak teguhnya semangat.


Segumpal nafas panjang dihembuskan. Sambil dia melangkah kembali ke dalam bilik tidurnya. Air teh diteguk lagi dan kemudian diletakkan di atas meja kecil bersebelahan dengan meja komputernya. Perhatiannya dilontarkan ke arah luar jendela yang bersaiz sederhana. Cahaya mentari pagi mula menerobos masuk melaluinya. Perlahan-lahan hatinya berdoa "Ya ALLAH Tuhan yang Maha Kuasa, kau terangilah hatiku dan hidupku ini seperti mana kau menerangi bumimu dengan cahaya mentarimu buat selamanya'.


Sejenak kemudian Daniel kembali termenung mengingatkan kembali kisah hidupnya selama ini…