Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, March 8, 2008

KAKI AMPU YANG MUNAFIK

Pada suatu hari, seorang raja memanggil kesemua penasihatnya yang terdiri daripada mufti, menteri-menteri dan timbalannya, para hukama dan tokoh-tokoh agama negarawan ke istana hinggapnya. Mereka dijamu dengan pelbagai juadah dan dianugerah dengan bintang-bintang kehormat.
Selepas menikmati jamuan, raja mengeluarkan sebotol minyak wangi dari sakunya. Baginda membuka dan menghidunya. "Minyak wangi apa ni... busuk sangat baunya.." Sambil berkata begitu, raja itu menghulurkan botol itu kepada mufti di sebelahnya. Mufti itu menghidunya. "Ya, benar. Terlalu busuk minyak wangi ini." Minyak wangi itu diberikan pula kepada wazir di sebelahnya. Wazir itu berkata, "Betul Tuanku! Minyak wangi ini memang busuk." Begitulah seterusnya botol itu diedar kepada para jemputan yang ada di balairong. Kesemua mereka mengatakan busuk sebagaimana didakwa oleh rajanya.
Akhirnya sampailah kepada giliran seorang memanda menteri. Sebaik saja menciumnya, dia terus berikan respons, "Tidak betul, mana ada minyak wangi yang tidak wangi. Kesemua minyak wangi adalah wangi termasuk yang ini. Minyak wangi ini sangat harum, tidak seperti yang tuan-tuan katakan."
Mendengar kata-kata memanda menteri tadi, raja itu tersenyum sambil berkata, "Benar kata-kata menteriku ini. Kamu semua adalah pengampu yang berbohong. Kamu sanggup menyembunyikan kebenaran kerana nak mengampu dan menjaga status kamu semua. Mulai hari ini pengampu-pengampu semua dipecat dari sebarang jawatan. Memanda menteri yang berkata benar ini beta lantik menjadi penasihat diraja."

MORAL & IKTIBAR

  • Seorang pemimpin yang benar-benar sedar tentang peranannya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini sentiasa berusaha menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.
  • Mereka bersedia menerima teguran membina daripada rakyat-rakyat dan orang bawahannya meskipun pahit didengar. Sebaliknya mereka benci kepada orang-orang yang suka mengampu dan memujinya tanpa hak.
  • Mereka yang Allah kehendaki menjadi manusia yang baik rela mendengar pendapat dan kritikan orang lain terhadapnya.
  • Bertuahlah sesebuah negara yang mempunyai umara' (raja) yang menghampiri ulama' dan binasalah sesebuah negara yang mana ulama'nya suka menghampiri umara'.
  • Kata-kata yang ikhlas disukai Allah meskipun dibenci oleh semua manusia. Sebaliknya kata-kata yang tidak ikhlas dibenci Allah meskipun digemari oleh semua lapisan manusia.
  • Carilah keredhaan Allah meskipun terpaksa berdepan dengan onak dan duri.
  • Kebaikan sejati ialah berani berkata benar di depan pemerintah yang zalim.
  • Pemerintah yang zalim suka mempunyai penasihat-penasihat yang berkata manis kepada dirinya walaupun tidak benar.
  • Jauhi sifat munafik kerana ia ibarat musang berbulu ayam. Membiarkan si munafik bermaharajalela seolah-olah merosakkan keseluruhan mukabumi Allah ini dengan noda dan dosa.
  • Allah membenci orang yang munafik. Oleh sebab itulah kedudukan orang munafik adalah paling hina daripada orang kafir. Orang kafir jatuh kerana kejahilannya tetapi si-munafik berkata bohong sedangkan dia tahu itu adalah salah. Justeru, Allah meletakkan orang munafik di kerak neraka yang paling bawah.
  • Jangan menjadi pak turut sehingga menggelapkan kebenaran yang sepatutnya diperjuangkan. Apabila kezaliman telah memenuhi mukabumi, menjadi fardhu ain kepada setiap orang membuat REFORMASI bagi menegakkan keadilan yang diLIWAT.

Sunday, February 24, 2008

PENGORBANAN SUCI

Seorang pemuda sedang dalam satu perjalanan yang jauh, berasa amat letih. Dia pun berhenti berehat di satu kawasan perkampungan dan melepaskan kudanya mencari makan di situ. Oleh kerana keletihan, pemuda itu tertidur di bawah pokok. Kudanya yang kelaparan merayau di satu kawasan ladang dan meragut tanaman di situ. Tidak berapa lama kemudian, sang petani yang memiliki ladang itu pun balik. Melihatkan habis tanamannya musnah, petani itu hilang kesabaran lalu membunuh kuda yang memakan tanamannya.

Apabila terjaga dari tidur, pemuda itu mencari kudanya. Puas dia mencari tidak juga berjumpa. Akhirnya dia ternampak bangkai kudanya di sebuah ladang. Melihat keadaan itu, dia menjadi marah dan mencari pembunuh kudanya. Dia terus meluru ke sebuah rumah berhampiran. Sebaik saja menjumpai tuan rumah, dia terus menghamun dan berlakulah pergaduhan dan akhirnya petani itu terbunuh.

Peristiwa itu diketahui orangramai. Pemuda itu dibawa berjumpa khalifah untuk diadilkan. Mengikut hukum qisas, bunuh dibalas dengan bunuh. Khalifah memerintahkan supaya dia dipenjarakan sehari semalam sebelum dia dipancung pada jam 5.00 keesokan petangnya. Pemuda itu merayu supaya dia dibenarkan balik dahulu berjumpa ibunya untuk menyelesaikan satu perkara yang amat mustahak.

Khalifah tidak meluluskan rayuan pemuda itu. Namun pemuda itu tidak berputus asa dan terus merayu sambil menyatakan dia mempunyai tanggungjawab yang mesti dibereskan sebelum dia dihukum bunuh. Dia berjanji akan balik segera sebaik saja urusannya selesai. Khalifah meminta pandangan waris si mati. Anak petani itu tidak mengizinkan pemuda itu pergi kerana bimbang dia tidak akan datang lagi untuk menerima hukuman mati.

Berkali-kali pemuda itu merayu dan bersumpah akan datang semula, namun tiada seorangpun menunjukkan tanda simpati. Akhirnya tampil seorang tua menuju mengadap khalifah menyatakan kesanggupan untuk menjadi tebusan bagi membolehkan pemuda itu balik ke rumah. Orang tua itu tidak lain tidak bukan ialah Abu Zar, seorang sahabat Nabi yang banyak merawikan Hadith. Melihat apa yang berlaku, semua hadirin tercengang dan sebahagian besar memarahi Abu Zar kerana tindakannya yang membahayakan diri sendiri.

Abu Zar berjanji untuk menjadi tebusan dan membenarkan pemuda itu pulang menyelesaikan masalahnya. Melihat kejadian ini, pemuda itu menjadi tenang dan mengikat janji bahawa dia akan pulang semula untuk dipancung sebaik sahaja urusannya selesai. Abu Zar faham kegagalan pemuda itu menunaikan janji akan mengakibatkan nyawanya tergadai. Ketika ditanya Khalifah bagaimana dia sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan membahayakan, Abu Zar menerangkan demi keluhuran Islam, dia sangat malu melihat tiada siapapun sanggup menghulurkan bantuan ketika pemuda asing itu dalam kesusahan yang amat sangat. Pemuda itu dibenarkan pulang ke rumah sementara Abu Zar pula dikurung di penjara.

Pada keesokan petangnya, penuh sesak manusia menuju ke istana khalifah untuk menyaksikan episod yang mencemaskan. Ramai menganggap Abu Zar akan dibunuh kerana kemungkinan besar pemuda itu tidak akan datang menyerahkan lehernya untuk dipancung. Saat yang mendebarkan berlaku apabila beberapa minit lagi jam lima petang, pemuda itu masih belum tiba. Abu Zar dikeluarkan dari kurungan. Kegagalan pemuda itu menghadirkan diri akan menyebabkan Abu Zar menjadi mangsa.

Di saat terakhir, orangramai melihat kelibat seorang lelaki menunggang seekor kuda dengan amat kencang sekali. Ketika itu riak cemas orangramai bertukar menjadi reda. Tepat sekali bagaimana dijanjikan pemuda itu sampai genap jam lima petang. Pemuda itu lantas turun di hadapan Khalifah seraya meminta maaf kerana 'terlambat' menyebabkan suasana tegang dan cemas. Pemuda itu menerangkan sepatutnya dia sampai lebih awal, tetapi terlewat disebabkan tali kudanya putus di tengah perjalanan. Dia menerangkan urusan yang dikatakannya amat penting dulu ialah kerana terpaksa menyelesaikan tanggungjawabnya sebagai penjaga harta anak-anak yatim dan menyerahkan tugas itu kepada ibunya.

Pemuda itu berjumpa Abu Zar untuk mengucapkan terimakasih di atas kesanggupannya menjadikan dirinya sebagai tebusan. Selepas itu dia segera ke tempat dilakukan hukuman pancung. Ketika pengawal hendak menghayun pedangnya, tiba-tiba anak petani dengan suara yang kuat meminta hukuman dibatalkan. Dengan rela hati dia memaafkan kesalahan pemuda itu. Mendengar kata-kata anak petani itu, pemuda itu amat lega dan terus sujud tanda syukur kepada Allah.

MORAL & IKTIBAR
  • Peristiwa sebenar ini menggambarkan betapa luhurnya peribadi individu apabila Islam telah menyelinap di sanubari mereka.
  • Seseorang sanggup mengorbankan jiwa dan raganya demi menjaga maruah Islam untuk menghulurkan pertolongan kepada orang yang di dalam kesusahan.
  • Agama Islam jika diamal dan dihayati sepenuh jiwa dan raga mampu menjadikan seseorang berakhlak mulia dan sanggup mati kerana menunaikan janji yang telah dibuat.
  • Orang Islam semuanya bersaudara. Sebagai saudara, kita hendaklah saling bantu-membantu dan sanggup menghulurkan pertolongan sekiranya saudara kita berada di dalam kesusahan.
  • Sebaik-baik mahkamah adalah mahkamah syariat yang 100% berlandaskan syariat Islam. Hukuman yang dijatuhkan adalah yang paling adil. Ini adalah kerana hukuman yang dikenakan adalah setimpal dengan kesalahan dan selari dengan perintah Allah. Dia menjadikan segala sesuatu di dunia ini dan Dialah juga yang maha mengetahui ubat atau penyembuh segala penyakit sosial.
  • Dalam Islam, bunuh dibalas dengan bunuh. Inilah keadilah Allah. Manusia yang tidak mengiktiraf hukuman Allah dan redha dengan keputusan mahkamah yang sekular jelas membelakang dan mempersendakan Allah. Hukuman cara sekular tidak menyelesaikan masalah sosial malahan menambahkan gejala yang lebih teruk. Banyak kes berlaku di mana orang tidak bersalah dihukum dengan amat berat manakala orang yang benar-benar bersalah bebas sebebas-bebasnya seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan. Jika hukuman tidak muktamad di dunia (tidak ikut hukum qisas/hudud), mereka akan diseret ke mahkamah Allah di akhirat di mana mereka akan dihukum seadil-adilnya. Sebaliknya mereka yang telah dihukum di dunia berlandaskan syariat Islam, dia tidak akan dihakimkan sekali lagi di akhirat.
  • .Masyarakat dahulu kukuh memegang nilai-nilai keIslaman tanpa memgutamakan kepentingan peribadi, keluarga, kroni dan sebagainya. Allah dan Rasul dijadikan keutamaan mengatasi perkara-perkara lain. Masyarakat sekarang jauh menyimpang dari norma-norma keIslaman yang tulen. Untuk kembali ke tahap kegemilangan Islam, perlulah menjadikan Allah dan Rasul sebagai rujukan.
Wallahu 'Alam.

Saturday, February 23, 2008

MUHASABAH DIRI

Semoga sahabat sahabiyyah berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya dalam menelusuri(melalui) mehnah dan ujian di dunia ini. Kita hendaklah sentiasa beringat bahwa Allah sememangnya mendatangkan ujian kepada hambanya bagi menilai sejauh mana hambanya ini memikul dan menyelesaikannya hingga sampai ke satu tahap bahawa kita merasakan 'MANIS'nya ujian itu.

Tentang posting ini, rasanya ramai yang lebih berkelayakan dari saya untuk memberi tazkirah pada sahabat, cuma pada kali ini saya cuba memberi sekadar yang termampu buat diri saya terutamanya dan sahabat sahabiyyah sebagai panduan menjalani hidup di dunia ini. Kita kan insan yang selalu dalam kelalaian dan kealpaan. Insan ini perlu diingat-ingatkankan selalu agar senantiasa dalam jalan yang benar dan tidak menyimpang mengikut hawa nafsu yang sentiasa nak merosakkan jiwa manusia. Sahabat memperingatkan saya dan saya pula memperingatkan sahabat. Betulkan?

Sahabat dan sahabiyyah yang saya kasihi kerana ALLAH SWT, Sememangnya memperbaiki diri ini bukan satu kerja yang senang apatah lagi terpaksa melalui jalan yang agak sukar sehingga sampai ke satu destinasi yang selamat yang dimimpi-mimpikan oleh semua jiwa yang suci. Jiwa sahabat adalah jiwa yang suci lagi murni jika teransang untuk mengubah diri dari segala kekotoran jiwa sebelum ini kepada jiwa yang putih laksana salju pada kedinginan musim sejuk. Adakah kita rasa 'SENSITIF' terhadap peribadi kita ?Bukti sensitifnya kita terhadap diri kita adalah kita sentiasa muhasabah diri kita. Orang yang selalu muhasabah ialah orang yang sensitif terhadap dirinya. Agak-agak bagaimana muhasabah itu berlaku ya?

Tiap-tiap hari MUHASABAH/MENGHITUNG DIRI mesti berlaku. Kita menghisab/menghitung segala apa yang kita lakukan pada hari tersebut. Hari ini banyak mana kebaikan yang kita lakukan . Banyak mana kejahatan yang kita lakukan. Cuma saya nak pesan pada diri saya dan sahabat sahabiyyah tentang satu perkara penting yang perlu diberi perhatian! [Kita digalakkan agar JANGAN mengingati segala kebaikan yang kita telah buat seharian. Jangan selalu ingat dan ungkit-ungkit perkara kebaikan yang kita buat . Jangan! Kerana ingatan sedemikian itu akan melahirkan satu rasa yang negatif. Iaitu kita rasa yang kita sentiasa dalam kebaikan dan mungkin datang perasaan bangga bahawa kita ni baik dan berperibadi mulia. Ini lah bahaya nya. Lepas itu kita akan berkurangan melakukan kebaikan dan malas membuat kebajikan lagi. Berasa cukup dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini. Saya harap sahabat nampak dan jelas dengan penerangan yang ringkas ini.]

Kita digalakkan untuk berfikir dan mencari ruang kebaikan yang akan kita buat pada hari esok dan berikutnya. Kita mesti fikir tentang itu. Maksudnya esok mesti ada kebaikan yang kita lakukan. Saya mahu beri satu contoh yang waqi'/praktikal berada di dalam kehidupan kita. Pada hari sahabat baca emel ini, adalah hari yang pertama. Muhasabah berjalan seperi biasa. Kata sahabat (di dalam hati), esok sahabat mahu buat kebaikan. Dan hari esok pun menjelma buat sahabat dengan taqdir Allah. Sahabat harus mencari ruang untuk melakukan kebaikan. Oh ya! Ruang untuk kita melakukan kebaikan ada yang datang secara kita tak jangka dan ada yang dah kita jangka. Yang kita jangka seperti , selepas solat Subuh sahabat baca AlQuran, berzikir, berwirid dan lain2 kebaikan. Yang kita tak jangka seperti ada peminta sedekah yang meminta sedekah di luar masjid, ada orang buta yang kehilangan peneman jalan dan ada mak cik tua yang tak mampu memikul beban barang yang dibawa. Semua itu "BONUS' dari Allah buat kita sebagai ruang mencari kebaikan. Di situlah kita menabur kebaikan. Mana kita sangka , ada orang buta itu datang sebagai 'bonus' pada kita. Tetapi ia adalah ujian Allah buat manusia untuk melihat apa tindakan kita. Pahala tersembunyi melalui orang buta itu. Kalau kita tak buat, maka hilanglah 'bonus' itu kan !

Kesimpulan dari perkara ini ialah kita mesti berfikir akan kebaikan yang akan kita lakukan dan JANGAN sekali-kali kita fikir/ungkit-ungkit kebaikan yang telah kita lakukan !

Manakala perkara kejahatan pula wahai sahabatku, Kita tak payah susah-susah pikir/ungkit-ungkit kejahatan yang akan dilakukan. Siapa yang beranggapan seperti itu maksudnya hati itu kotor! Ya lah... Beranggapan yang negatif. Ingin membuat kejahatan.

Bagi muslim sebenar, kita kena renung dan pikir atau kita kena selalu ungkit-ungkit akan kejahatan yg telah kita lakukan. Moga-moga ia menimbulkan kesedaran pada kita bahwa lemahnya kita. Selepas berfikir itu, kita mestilah susuli dengan rasa penyesalan dan tak mahu kembali lagi ke desa kekotoran dan kejahatan tadi. Yang lepas tu biarlah berlalu. Tapi janganlah kita tanam cita-cita untuk mengulangi kejahatan yang lalu.

Yang baik itu datang daripada ALLAH dan kesilapan dan kekurangan datangnya daripada diri saya sendiri namun hakikat kedua-duanya adalah daripada ALLAH supaya manusia berfikir akan kekuasaan-Nya...wallahua'lam

Thursday, February 21, 2008

KELEBIHAN LELAKI PADA AKALNYA

Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.

Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kocar-kacir.

Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.

Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.

Kata orang tua-tua - pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini sudah hampir berkubur. Apa tindakan kita sekarang?

ASSALAMU'ALAIKUM

insyaallah sekarang ini ana dalam proses pembikinan 2 buah novel yang akan ana post kan ke dalam blog ini satu bab seminggu, dalam post yang akan datang akan ana kepilkan bersama muka depan bagi novel yang ana karang itu....ajaklah kawan, rakan, teman, taulan, sahabat, saudara mara, anak pinak, dan sesiapa sahaja yang wujud di muka bumi ini hatta presiden amerika sekalipun jika anda mempunyai contact dengan beliau untuk bersama menelusuri novel karangan ana ini....kerana novel ini adalah untuk bacaan umum sesuai untuk semua lapisan masyarakat..