Saturday, February 23, 2008
MUHASABAH DIRI
Tentang posting ini, rasanya ramai yang lebih berkelayakan dari saya untuk memberi tazkirah pada sahabat, cuma pada kali ini saya cuba memberi sekadar yang termampu buat diri saya terutamanya dan sahabat sahabiyyah sebagai panduan menjalani hidup di dunia ini. Kita kan insan yang selalu dalam kelalaian dan kealpaan. Insan ini perlu diingat-ingatkankan selalu agar senantiasa dalam jalan yang benar dan tidak menyimpang mengikut hawa nafsu yang sentiasa nak merosakkan jiwa manusia. Sahabat memperingatkan saya dan saya pula memperingatkan sahabat. Betulkan?
Sahabat dan sahabiyyah yang saya kasihi kerana ALLAH SWT, Sememangnya memperbaiki diri ini bukan satu kerja yang senang apatah lagi terpaksa melalui jalan yang agak sukar sehingga sampai ke satu destinasi yang selamat yang dimimpi-mimpikan oleh semua jiwa yang suci. Jiwa sahabat adalah jiwa yang suci lagi murni jika teransang untuk mengubah diri dari segala kekotoran jiwa sebelum ini kepada jiwa yang putih laksana salju pada kedinginan musim sejuk. Adakah kita rasa 'SENSITIF' terhadap peribadi kita ?Bukti sensitifnya kita terhadap diri kita adalah kita sentiasa muhasabah diri kita. Orang yang selalu muhasabah ialah orang yang sensitif terhadap dirinya. Agak-agak bagaimana muhasabah itu berlaku ya?
Tiap-tiap hari MUHASABAH/MENGHITUNG DIRI mesti berlaku. Kita menghisab/menghitung segala apa yang kita lakukan pada hari tersebut. Hari ini banyak mana kebaikan yang kita lakukan . Banyak mana kejahatan yang kita lakukan. Cuma saya nak pesan pada diri saya dan sahabat sahabiyyah tentang satu perkara penting yang perlu diberi perhatian! [Kita digalakkan agar JANGAN mengingati segala kebaikan yang kita telah buat seharian. Jangan selalu ingat dan ungkit-ungkit perkara kebaikan yang kita buat . Jangan! Kerana ingatan sedemikian itu akan melahirkan satu rasa yang negatif. Iaitu kita rasa yang kita sentiasa dalam kebaikan dan mungkin datang perasaan bangga bahawa kita ni baik dan berperibadi mulia. Ini lah bahaya nya. Lepas itu kita akan berkurangan melakukan kebaikan dan malas membuat kebajikan lagi. Berasa cukup dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini. Saya harap sahabat nampak dan jelas dengan penerangan yang ringkas ini.]
Kita digalakkan untuk berfikir dan mencari ruang kebaikan yang akan kita buat pada hari esok dan berikutnya. Kita mesti fikir tentang itu. Maksudnya esok mesti ada kebaikan yang kita lakukan. Saya mahu beri satu contoh yang waqi'/praktikal berada di dalam kehidupan kita. Pada hari sahabat baca emel ini, adalah hari yang pertama. Muhasabah berjalan seperi biasa. Kata sahabat (di dalam hati), esok sahabat mahu buat kebaikan. Dan hari esok pun menjelma buat sahabat dengan taqdir Allah. Sahabat harus mencari ruang untuk melakukan kebaikan. Oh ya! Ruang untuk kita melakukan kebaikan ada yang datang secara kita tak jangka dan ada yang dah kita jangka. Yang kita jangka seperti , selepas solat Subuh sahabat baca AlQuran, berzikir, berwirid dan lain2 kebaikan. Yang kita tak jangka seperti ada peminta sedekah yang meminta sedekah di luar masjid, ada orang buta yang kehilangan peneman jalan dan ada mak cik tua yang tak mampu memikul beban barang yang dibawa. Semua itu "BONUS' dari Allah buat kita sebagai ruang mencari kebaikan. Di situlah kita menabur kebaikan. Mana kita sangka , ada orang buta itu datang sebagai 'bonus' pada kita. Tetapi ia adalah ujian Allah buat manusia untuk melihat apa tindakan kita. Pahala tersembunyi melalui orang buta itu. Kalau kita tak buat, maka hilanglah 'bonus' itu kan !
Kesimpulan dari perkara ini ialah kita mesti berfikir akan kebaikan yang akan kita lakukan dan JANGAN sekali-kali kita fikir/ungkit-ungkit kebaikan yang telah kita lakukan !
Manakala perkara kejahatan pula wahai sahabatku, Kita tak payah susah-susah pikir/ungkit-ungkit kejahatan yang akan dilakukan. Siapa yang beranggapan seperti itu maksudnya hati itu kotor! Ya lah... Beranggapan yang negatif. Ingin membuat kejahatan.
Bagi muslim sebenar, kita kena renung dan pikir atau kita kena selalu ungkit-ungkit akan kejahatan yg telah kita lakukan. Moga-moga ia menimbulkan kesedaran pada kita bahwa lemahnya kita. Selepas berfikir itu, kita mestilah susuli dengan rasa penyesalan dan tak mahu kembali lagi ke desa kekotoran dan kejahatan tadi. Yang lepas tu biarlah berlalu. Tapi janganlah kita tanam cita-cita untuk mengulangi kejahatan yang lalu.
Yang baik itu datang daripada ALLAH dan kesilapan dan kekurangan datangnya daripada diri saya sendiri namun hakikat kedua-duanya adalah daripada ALLAH supaya manusia berfikir akan kekuasaan-Nya...wallahua'lam
Thursday, February 21, 2008
KELEBIHAN LELAKI PADA AKALNYA
Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.
Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kocar-kacir.
Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.
Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.
Kata orang tua-tua - pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara kini sudah hampir berkubur. Apa tindakan kita sekarang?ASSALAMU'ALAIKUM
Monday, February 18, 2008
LUAHAN HATI
hari isnin menjelang lagi, nampaknya aku baru tersedar dari mimpi setelah dikejutkan oleh perkara yang ngeri, apa lagi....assignment la,hmmm....rupanya lambakan assignment yang sengaja aku ketepikan seketika dulu sudahpun menimbun dan semakin hampir melimpasi 'date line' nya, Ya Allah, berilah kekuatan bagi hamba-Mu ini untuk terus cekal mendirikan ibadah kepada-Mu agar tenangnya dapat dirasai semasa badai kegusaran melanda dan nikmat kelapangan dapat dikecapi semasa seisi dunia ku pantas menghimpit.....
hmmm...so apa lagi? p la buat assignment 2...
Sunday, February 17, 2008
PERBANDINGAN DUA NEGARA
Ada 2 negara yang diperintah oleh dua kerajaan. Negara pertama diperintah oleh seorang raja yang warak, alim dan adil. Baginda mempunyai sistem pemerintahan yang benar-benar belrlandaskan ajaran Allah yang suci - Islam. Visi dan misi ialah ketaatan kepada Allah dan Rasul demi kesejahteraan umat dunia dan akhirat. Berpaksikan hukum Allah dan sunnah Rasul, baginda membina empayarnya dengan saksama; dibantu oleh barisan menteri yang celik agama dan politik kenegaraan serta mempunyai prinsip yang teguh 'menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar'. Dari segi pelaksanaan undang-undang, mereka berpegang pada 'kami dengar dan kami patuh'. Ini bermakna apa jua arahan dari pihak raja akan mereka laksanakan sebaik mungkin asalkan semua arahan itu tidak menyempang dari agama Islam.
Saban siang, kesemua mereka menjalankan urusan pemerintahan dengan bersungguh-sungguh kerana menyedari bahawa mereka dipikulkan dengan satu tanggungjawab yang amat berat iaitu sebagai khalifah Allah di muka bumi. Mereka bertanggungjawab di atas apa jua tindakan yang dilakukan. Kepentingan sendiri mereka ketepi kerana mengutamakan hak dan kepentingan rakyat jelata. Oleh sebab Sang Raja mempunyai stail pentadbiran yang benar-benar telus dan lurus, maka kesemua barisan menteri, kakitangan awam dan juga swasta serta rakyat amnya memberikan sokongan padu menjayakan segala projek kerajaan sehingga negaranya sangat dihormati kerana kejayaan yang amat cemerlang dalam semua aspek kehidupan sama ada berbentuk ukhrawi atau duniawi. Kesemua tenaga kerja menyumbang ke arah menjayakan negara Islam sehinggakan doktor, peguam, peniaga, guru, arkitek, engineer, pegawai kerajaan dan lain-lain pekerja bersatu dalam menyempurnakan aspirasi Islam.
Pada malamnya pula, raja dan para menteri bangun mengerjakan solat tahajjud, meminta istighfar dan petunjuk dari Allah dalam menjalankan tugas yang dipikulkan ke atas mereka. Siang mereka bersama manusia, malamnya bersama Allah Pencipta sekalian alam.
Kejayaan dan kecemerlangan negara amat terserlah. Yang kaya menjadi bank kepada yang miskin, yang kuat menjadi pelindung yang lemah, yang mulia menjadi naungan kepada yang hina dan yang alim menjadi pemimpin yang jahil. Etika sosial begini menjadi asas kepada kejayaan negara keseluruhan. Pembangunan berjalan dengan pesat meskipun tiada projek mega yang membeban rakyat. Taraf pendidikan begitu maju dengan menekankan aspek fardhu 'ain terlebih dulu sebelum fardhu kifayah. Dalam bidang sosial pula, tidak terdapat golongan manusia yang bertuhankan kebendaan. Masalah jenayah, maksiat dan budaya lepak hampir tiada. Kecurian, penzinaan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa hampir tidak wujud di dalam kamus mereka. Pasukan polis dan askar amat mudah menjalankan tugas. Begitu juga dalam bidang ekonomi, negara menjadi kaya walaupun tidak mengamalkan sistem riba'.
Pendekata, berkat ketaqwaan dan kepatuhan kepada Allah, negara ini menjadi contoh teladan kepada negara lain seantero dunia. Allah meredhai pemerintahan raja yang menjadikan dirinya sebagai role model pemimpin yang adil. Sebagai balasan, negaranya berkat dan mendapat pengampunan dan keredhaan Allah 'Baldatun Thaiibatun Wa Rabbun Ghafur' - negara yang baik dan berkat serta mendapat pengampunan Allah. Raja negara ini berjaya membawa rakyat ke mercu kejayaan dunia dan akhirat.
Sebuah negara lagi adalah sebaliknya. Mempunyai pemerintah yang zalim. Menteri-menterinya juga ikut zalim dan rakus kuasa. Sesiapa saja yang cuba mendirikan keadilan akan dihukum dan tidak sesuai berada di dalam barisan menterinya. Harta negara dibahagi sesama mereka tanpa mempeduli hak rakyat jelata. Hak dan harta rakyat menjadi hak mereka diambil dengan sewenang. Kebajikan rakyat dan orang bawahan tidak dijaga baik, sebaliknya pendokong kerajaan dan juga para korporatnya begitu ditatang seperti menatang minyak penuh. Nama baik negara dijaga dari pandangan antarabangsa meskipun tidak diperkenan oleh rakyat jelata. Projek mewah yang langsung tiada kaitan dengan kepentingan orang bawahan begitu serius dijaga; sehingga mengorbankan kepentingan jelata.
Oleh sebab prioriti adalah untuk menegakkan ekonomi negara, maka soal lain menjadi perkara kedua yang tidak begitu penting dan tidak diberikan keutamaan. Sikap pemimpin ini menjadi ikutan orang bawah. Akhirnya matlamat hidup sebagai hamba Allah kian pupus. Manusia hidup untuk benda. Para korporat dibela. Rakyat jelata yang menaikkan mereka dibiarkan saja. Agama katanya masalah peribadi. Lahirlah satu generasi rakyat yang kosong jiwa walaupun kaya harta. Kerana mengejar benda, manusia lari dari Allah, tidak lagi melakukan solat 5 waktu. Amar makruf dan nahi mungkar tidak lagi jadi pegangan. Surau dan masjid semakin terpinggir walaupun tersergam dibina macam istana. Masjid dihias dan diceria tapi ke mana pergi jemaahnya? Yang dewasa mula longgar agama. Anak-anak mereka tidak dijaga. Larilah mereka dari rumah menurut rakan sebaya. Budaya mereka berpoya-poya. Amal ibadat jadi persenda. Ulama dan nabi dikatakan tipu daya.
Orang kaya semakin mengada, orang miskin pula kian melata. Kepada siapa ingin mengadu? Sang Menteri tidak ambil tahu. Orang ramai semakin menderita. Dunia mereka tidak dijaga. Akhirat pula dipandang hina. Akhirnya rugilah mereka kedua-dua. Sang Menteri tidak peduli apa berlaku pada remaja. Ramai melepak tak tentu hala. Pegangan agama tidak diambil kira. Sang Ulama dan Nabi dipandang hina. Tindakan mereka menjemput bala. Negara menuju saat kehancuran. Tapi menteri masih mendabik dada kononnya mereka membawa negara ke mercu jaya.
Benar sekali kata hukama, barangsiapa mengejar dunia, dunia akan terus lari. tetapi barangsiapa yang mengejar akhirat, mereka akan perolehi keduanya.
- Kejayaan sesebuah negara banyak bergantung kepada corak kepimpinannya.
- Pemimpin yang berjiwa Islam membawa rakyatnya ke mercu kejayaan. Sebaliknya pemimpin sekular terlalu mementingkan kekayaan dunia hingga melupakan bahagian akhirat yang kekal. Mereka sesat lagi menyesatkan.
- Pemimpin Islam sentiasa bergantung kepada Allah tetapi pemimpin sekular kuat pergantungannya dengan kemajuan ekonomi. Mereka percaya jika ekonomi kukuh, segala yang lain akan turut maju. Sikap begini boleh menjerumus atau membawa rakyat ke lembah syirik. Menganggap selain Allah memberi manfaat atau mendatangkan mudharat boleh membawa pada syirik.
- Ideologi yang tidak memberikan penekanan kepada Islam adalah sesat.
- Mana-mana raja atau pemimpin yang adil akan mendapat keredhaan Allah pada hari kiamat. Manakala pemimpin yang zalim akan dihumban ke neraka untuk menerima balasan yang setimpal dengan kezalimannya.
- Sebagai rakyat, kita wajib memberi sokongan padu kepada raja yang adil. Menyokong pemimpin yang zalim adalah haram. Memberikan sokongan kepada mereka bererti bersekongkol atau bersekutu dalam melakukan kezaliman.
- Di akhirat kita akan bersama dengan orang yang kita sayangi atau sokongi. Jika pemimpin zalim yang kita sokong masuk neraka, kita juga akan turut dimasukkan ke neraka, wal'auzubillah. Oleh itu sokonglah dan sayangilah pemimpin Islam yang berjuang menegak atau mendaulatkan agama Islam. Jika mereka masuk syurga, insyallah kita juga akan dimasukkan ke syurga. Kita bersama dengan orang yang kita sayangi.
- Amar makruf dan nahi mungkar merupakan asas kebahagiaan dan keselamatan sesebuah negara.
- Ulama adalah pewaris Nabi. Menyayangi ulama bererti menyayangi nabi. Membenci ulama jelas menunjukkan kebencian kepada nabi.
- Seseorang yang arif dan alim (tahu) dalam satu bidang keagamaan boleh dianggap ulama dalam bidang tersebut dan perlu dihormati. Tidak semestinya alim dalam kesemua bidang agama diiktiraf ulama. Mereka yang alim dalam satu perkara pun dimuliakan Allah betapa pula yang alim dalam banyak urusan agama. Siapalah kita untuk mempertikai kewibawaan ulama terutama ulama' muktabar seperti Imam Shafei atau Imam Ghazali.
- Raja adil perlu disanjung, raja zalim mesti disanggah.
- Berbahagialah sesebuah negara di mana umara' (pemimpin)nya menjadikan ulama sebagai penasihat. Tetapi amat malang sekali jika ulamanya pula mengikut telunjuk umara'nya. Ulama' begini dikategorikan sebagai ulama' suu' (ulama' jahat yang menjual agama untuk mendapat habuan dunia).
- Hidup adalah perjuangan untuk menegakkan syariat Islam. Inilah wawasan umat Islam.
- Pemimpin yang sombong dan ujub tidak layak menjadi pemimpin orang-orang Islam. Sesebuah negara ibarat sebuah kapal yang sarat dengan penumpang manakala rajanya adalah jurumudi. Jurumudi yang mahir akan berjaya mengemudikan kapal ke tanah darat dengan selamat. Manakala jurumudi yang mabuk dan gila akan menyebabkan kapal terbalik dan membahayakan keselamatan penumpangnya.
